Jom Bertunang!

Hukum Pertunangan
Di kalangan masyarakat Islam di Malaysia, walaupun agama Islam tidak mewajibkan upacara pertunangan, sering terjadi perkahwinan yang didahului oleh ikatan semacam pertunangan[9]. Kebiasaannya kehendak untuk mengadakan ikatan pertunangan ini adalah dari pihak lelaki yang ingin melamar perempuan tersebut. Jika lamaran itu diterima, maka upacara pertunangan akan dilakukan bagi membincangkan penetapan waktu pernikahan, jumlah mahar dan sebagainya.

Secara dasarnya Islam tidak menyatakan secara terang berkenaan dengan hukum pertunangan ini sama ada ianya wajib atau haram. Namun apa yang dapat dikenal pasti ianya boleh dikatakan sunat kerana berdasarkan hadith-hadith Nabi SAW, telah menggariskan perkara-perkara yang sunat dilakukan sewaktu peminangan dilangsungkan.


Tujuan Pertunangan
Pertunangan adalah merupakan ikatan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan sebelum keduanya dinikahkan. Tujuannya adalah untuk mengikat janji yang suatu hari keduanya akan berkahwin. Pertunangan diadakan adalah untuk merapatkan silaturrahim antara kedua belah keluarga di mana, keluarga pihak lelaki akan bertandang ke rumah pihak perempuan. Maka di situ akan bergaul mesra dan berkenal-kenalanlah di antara kedua keluarga. Apabila kedua belah keluarga ini bertemu, maka sudah pasti mereka akan berbincang untuk mendapatkan kata sepakat berkenaan dengan penetapan tarikh dan tempat pernikahan, jumlah mahar (mas kahwin), jumlah pemberian (dulang hantaran) dan sebagainya. Apabila telah dipersetujui tarikh dan tempat pernikahan, maka bakal pengantin keduanya dapat membuat persiapan-persiapan yang sepatutnya terutamanya di dalam memahirkan diri tentang ilmu perkahwinan dan kekeluargaan. Bakal pengantin juga dapat memperuntukkan masa dan wang bagi menghadapi hari pernikahan nanti.



Tempoh Pertunangan
Tempoh pertunangan adalah bergantung kepada keupayaan pasangan tersebut. Memandangkan perkahwinan adalah perkara yang paling dianjurkan di dalam agama Islam, maka seelok-eloknya janganlah ditangguhkan tanpa sebab musabab yang kuat.Hal ini kerana boleh menimbulkan kesusahan bukan sahaja terhadap pasangan tersebut malah kepada kedua keluarganya, lebih-lebih lagi apabila ianya berkaitan dengan fitnah dan hasutan jahat.

Kebiasaanya di Malaysia, tempoh yang biasa diperuntukkan adalah tidak kurang dan tidak lebih setahun. Ada juga yang mengikat janji lebih daripada setahun, sebagai contoh jika keduanya atau salah seorang dari keduanya sedang melanjutkan pelajaran atau berada jauh di negeri lain.



Majlis Pertunangan mengikut adat Melayu

ADAT MERISIK
Adat orang dahulu kala, jika seorang lelaki berkenan akan seorang perempuan, maka hasratnya akan diluahkan kepada ibubapanya. Maka menjadi tangungjawab ibubapa lelaki tersebut untuk bertandang ke rumah perempuan yang ingin dinikahi tersebut untuk memaklumkan kepada ibubapa perempuan tersebut dengan menyampaikan hasrat hati lelaki berkenaan. Telah menjadi adat resam, sewaktu keluarga pemuda bertandang ke rumah gadis akan membawa sebentuk cincin yang dipanggil cincin merisik. Sewaktu adat merisik inilah perbincangan mengenai majlis pertunangan akan dibincangkan seperti tarikh dan tempat untuk majlis bertunang.


ADAT BERTUNANG
- Persediaan Pertunangan
Kebiasaannya majlis pertunangan akan diadakan yang bertujuan untuk mengikat tali persetujuan untuk mendirikan rumahtangga di antara lelaki dan perempuan, tidak kira sama ada majlis tersebut dibuat secara besar-besaran, mahupun secara kecil-kecilan, namun kedua-dua pihak haruslah membuat persediaan. Di dalam artikel ini, persediaan bagi majlis pertunangan akan dibahagikan kepada dua iaitu persediaan bagi pihak perempuan dan persediaan bagi pihak lelaki.

Bagi pihak perempuan, terdapat 3 perkara penting yang perlu di ambil kira iaitu persediaan bagi diri sendiri, persediaan membuat persiapan dulang hantaran dan persediaan bagi majlis pertunangan. Bagi persediaan diri sendiri, perempuan yang akan ditunangkan semestinya perlulah berhias. Seelok-eloknya berpakaian kemas, sopan dan cantik dipandang, atau mengenakan solekan diwajah agar Nampak lebih berseri. Bukan sahaja nampak manis dipandang, malah bakal mertua juga pasti berbangga dengan bakal menantu yang cantik rupawan. Pasti ketika bakal mertua menyarungkan cincin dijari, perempuan tersebut akan kelihatan lebih berkeyakinan. Kini, masyarakat kita terutamanya di bandar lebih gemar ke butik andaman untuk mendapatkan pakej-pakej menarik. Ini termasuklah pakej pelamin, sewa pakaian, dan juga gubahan dulang hantaran. Terdapat juga diantara kita yang membuat tempahan baju pertunangan. Hal ini kerana, memandangkan majlis pertunangan ini tidaklah sebesar majlis perkahwinan, baju yang dipakai ketika majlis pertunangan boleh dipakai untuk ke majlis-majlis formal lain.

Persediaan dulang hantaran adalah tertakluk kepada keinginan dan persetujuan kedua-dua belah pihak. Bagi mereka yang inginkan majlis yang amat sederhana dan mudah, tiada pelbagai pemberian yang akan diberikan sama ada dari pihak lelaki ataupun perempuan melainkan cincin sebagai tanda. Bagi golongan seperti ini, cukuplah sebentuk cincin beserta dengan sedulang sirih junjung atau boleh juga digantikan dengan tepak sirih sekadar mengikut kehendak adat. Walaubagaimanapun, majlis seperti ini kurang diamalkan oleh masyarakat Melayu terutamanya bagi mereka yang masih berpegang kuat dengan adat resam. Bagi golongan yang dikenali sebagai golongan orang beradat ini, pemberian dulang hantaran perlu diberi oleh pihak lelaki dan dibalas oleh pihak perempuan. Jika pihak lelaki memberi hantaran dulang sebanyak 5 dulang, maka pihak perempuan perlu membalas sebanyak 7 dulang. Yang pasti, nombor dulang hendaklah ganjil. Sebaik-baiknya, pihak lelaki akan memberi sebanyak 5 dulang atau lebih asalkan nombornya ganjil. Perlu diingatkan sirih junjung atau tepak sirih hendaklah disertakan sekali bersama dulang-dulang hantaran yang lain. Hantaran-hantaran atau pemberian ini adalah merupakan pemberian hadiah kepada pasangan masing-masing. Biasanya pemberian ini terdiri daripada pakaian, makanan, barang keperluan peribadi seperti produk kecantikan dan sebagainya.

Manakala persiapan bagi majlis adalah akan diusahakan oleh keluarga pihak perempuan. Semuanya bergantung kepada jumlah jemputan. Jika sekiranya keluarga pihak perempuan menjemput hanya ahli keluarga dan rakan-rakan yang terdekat maka majlis tersebut berkemungkinan tidak akan melibatkan jumlah kos yang tinggi. Berbanding pula dengan jemputan hadirin yang ramai, pasti tuan rumah perlu menyediakan pelbagai persiapan dan juadah yang lebih banyak. Oleh yang demikian, bagi memudahkan cara, ramai di antara menggunakan khidmat katering.

Bagi pihak lelaki pula, persediaan menghadapi majlis pertunangan adalah lebih kurang bebannya berbanding dengan pihak perempuan. Pihak lelaki harus menyediakan sebentuk cincin sebagai tanda ikatan. Samaada mahu dihias cantik di atas dulang, atau tidak terpulang kepada keperluan dan kehendak masing-masing. Adat orang dahulu, pemuda tidak dibenarkan untuk datang bertandang ke rumah gadis ketika majlis pertunangan di adakan. Namun kini, masa merubah, malah keluarga perempuan pula yang mempelawa lelaki tersebut naik ke rumah. Bukan itu sahaja, malah lelaki tersebut juga akan disarungkan cincin pertunangan dijari oleh keluarga perempuan berkenaan. Kelebihannya jika lelaki tersebut dibenarkan bertandang, maka kekekliruan dapat dielakkan. Dalam erti kata lain, perempuan tersebut telah ditunangkan dengan lelaki yang betul pilihannya.

- Acara di Majlis Pertunangan
Setelah ketibaan rombongan keluarga pihak lelaki, majlis akan dimulakan dengan salam dan ucapan selamat datang kepada rombongan. Untuk memudahkan acara, pengerusi majlis haruslah dilantik yang kebiasaannya akan dipengerusikan oleh pihak gadis. Pengerusi majlis seterusnya akan membuka majlis dengan pembuka surah, atau puji-pujian kepada Allah dan Rasul. Kemudian, pengerusi majlis akan menerangkan serba sedikit mengenai majlis pertunangan seperti, tujuan majlis diadakan dan sebagainya. Seterusnya pengerusi majlis akan menjemput wakil daripada pihak lelaki untuk memulakan bicara menyatakan hasrat rombongan bertandang ke rumah perempuan. Wakil tersebut bukanlah ibu atau bapa lelaki tersebut, tetapi merupakan mana-mana ahli keluarga lelaki tersebut yang telah dilantik untuk meyampaikan hasrat lelaki tersebut untuk meminang. Kemudian, pengerusi majlis akan menjemput wakil pihak perempuan untuk berucap. Seperti juga wakil pihak lelaki, wakil pihak perempuan hendaklah terdiri daripada mana-mana ahli keluarga perempuan tetapi bukanlah ibu atau bapa kepada perempuan tersebut. Jika dahulu, cara komunikasi antara wakil dilakukan secara berbalas-balas pantun ataupun berkias. Sekali sekala ada juga lawak jenaka diselit di dalam perbincangan itu untuk menghiburkan hati tetamu yang hadir.

Majlis seterusnya akan diteruskan oleh wakil pihak perempuan untuk menyatakan persetujuan pertunangan dilangsungkan. Selain daripada itu, perbincangan mengenai tarikh pernikahan, jumlah mahar (mas kahwin), wang hantaran (belanja), jumlah pemberian atau dulang hantaran turut juga dibincangkan.

Setelah kedua-dua pihak bersetuju, adat orang dahulu, bakal ibu mertua akan masuk ke bilik perempuan tersebut untuk menyarungkan cincin pertunangan dijari perempuan tersebut. Namun kini, perempuan tersebut akan dipelawa keluar di hadapan tetamu untuk duduk di tempat khas atau biasanya akan dibuat pelaminan khas yang simple dan kemudian bakal ibu mertua akan menyarungkan cincin pertunangan. Dengan itu, secara rasminya, tali pertunangan telah diikat antara keduanya.


Sekadar Berkongsi :
Ingat ye Readers!
HARAM hukumnya kita bergambar bersama2 tunang di majlis pertunangan kita~
[Refers here!]

✿◕ ‿ ◕✿ BERRYlixious ✿◕ ‿ ◕✿

3 comments:

Safrah Zainal said...

is it true that u said..."HARAM hukumnya kita bergambar bersama2 tunang di majlis pertunangan kita"?

Safrah Zainal said...

is it true what u said.. "HARAM hukumnya kita bergambar bersama2 tunang di majlis pertunangan kita"?

Isabella Abba said...

Hello dear...
u boleh refer sini kalau nak tau dgn lebih details...

http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/questions/view/46210

Popular Posts

©HAK MILIK TERPELIHARA Berrylixious