Mas Kahwin & Mahar




Maskawin
Pengertian Maskawin (Al-Mahar)
Maskahwin ialah : 
Pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan.
Sebagaimana firman Allah: 
"Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka"
Sabda Rasulullah SAW :
"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang dibuat daripada besi."
(Riwayat Al-Bukhari Muslim)

Dari hadith tersebut nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja, asalkan sesuatu yang berguna dan berfaedah,samada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat. 
Sebagaimana Rasulullah pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tidak ada memiliki sesuatu apa pun untuk dijadikan maskahwin, lalu Rasulullah bertanya kepada lelaki itu
"Adakah pada engkau sedikit dari ayat-ayat Quran??" ,
Lelaki itu menyahut bahawa dia ada mengingati beberapa surat, kemudian Rasulullah pun mengkahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surat yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isteri lelaki itu.
Maskahwin ini tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit.
Jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya maskahwin ini terpulanglah kepada persetujuan kedua belah pihak pengantin dan biasanya mengikuti taraf atau darjat pengantin tersebut, 
walau bagaimanapun pihak syarak tidak mengalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki, 
sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:
"Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah."
Hadis tersebut menunjukkan bahawa disunatkan maskahwinkan itu rendah nilainya, supaya tidak menjadi keberatan kepada lelaki untuk mencarinya, walaupun begitu, bukanlah bermaksud rendah sehingga sampai menjatuhkan taraf wanita.


Bahagian Mahar
Mahar Misil
Ialah mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah dinilai sama dengan maskahwin keluarga yang paling dekat sekali, seperti kakak, emak saudara dan seterusnya di samping menilai keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.
Mahar Musamma
Ialah maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.


HUKUM MENYEBUT MASKAHWIN DI WAKTU AKAD
Sunat
Sunat, kerana Rasulullah sendiri tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya di masa akad bila menikahkan orang lain. 
 Dengan menyebutnya di masa akad, dapat mengelakkan dari berlaku perselisihan berhubung dengannya, juga dapat membezakan di antara perkahwinan biasa dengan perkahwinan seorang perempuan yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah tanpa mahar.
Sekiranya mahar tersebut tidak dinyatakan di masa akad bukanlah bererti akad perkahwinan itu tidak sah tetapi makruh jika tidak disebut.
Wajib
Wajib disebut mahar di waktu akad dalam keadaan yang berikut :
1. Jika bakal isteri itu seorang yang masih budak kecil, gila, atau bodoh, sedangkan bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar yang sepatutnya (mahar misil).
2. Jika bakal isteri yang sudah baligh, bijak dan boleh menguruskan diri sendiri dan telah membenarkan wali untuk mengkahwinkannya, tetapi ia tidak menyerahkan kepada walinya untuk menetapkan mas kahwinnya.
3. Jika bakal suami itu seorang yang tidak boleh menguruskan hal dirinya sendiri, seperti ia masih budak, gila atau bodoh dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tersebut tentang bayaran maskahwin kurang dari mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian maskahwin wajib dinyatakan sebagaimana yang dipersetujui.
Maksud wajib di sini bukanlah bererti perkahwinan itu tidak sah, tetapi perbuatan itu dianggap berdosa dan maskahwin dibayar mengikut kadar yang sepatunya (mahar Misil).


WAJIB MASKAHWIN
Maskahwin wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut di dalam akad, Jika dinyatakan di masa akad, maskahwin wajib juga dibayar dengan keadaan yang berikut :
1. Bila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul (setubuh) dan dipersetujui oleh pihak isteri. Oleh yang demikian, isteri berhak menghalang suami dari mensetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar maskahwin yang akan diberinya, samada dengan secara tunai atau berhutang. Jika dijanjikan tunai maka pihak isteri berhak menghalang suami tersebut dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwin itu.
2. Bila penetapan maskahwin itu dibuat oleh qadhi dengan sebab keingkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan senan perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila qadhi menentukannya maskahwin tersebut hendaklah dibayar tunai (tidak boleh berhutang).
3. Bila suami menyetubuhi isterinya wajib dibayar maskahwin menurut kadar yang seimbang dengan taraf isteri tersebut.


GUGUR SEPARUH MASKAHWIN
Apabila berlaku talak sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin, firman Allah :
"Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum mensetubuhinya, sedangkan kamu telah menentukan maskahwinnya, maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu."

Hal ini berlaku sekiranya perceraian itu berpunca dari pihak suami seperti suami menjadi murtad, atau suami menganut Islam sedangkan isterinya tidak dan sebagainya, tetapi jika penceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami menfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri, maka maskahwin itu akan gugur semuanya.


MATI SUAMI ATAU ISTERI SEBELUM PERSETUBUHAN
Jika seorang suami meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak warithnya wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada janda tersebut dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai mahar misil.
Sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada wraith jandanya itu, jika maskahwin belum dijelaskan lagi sebelum, sabda Rasulullah S.A.W. :
"Dari Al-Qamah katanya : Seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sampai mensetubuhi isterinya itu dan maskahwinnya pun belum ditentukan kadarnya, kata Al-Qamah: mereka mengadukan hal tersebut kepada Abdullah maka Abdullah berpendapat, perempuan itu berhak mendapat pusaka dan wajib pula ia beriddah, maka ketika ini Ma’kil bin Sanan Al-Shakbi menjelaskan bahawa sesungguhnya nabi S.A.W. telah memutuskan terhadap Buruq bte Wasiq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi."
(Riwayat Al-Kamsah dan Sahih At-Tirmidzi)


AL-MUT’AAH
Ertinya:
Satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya. 
 Pemberian ini wajib diberikan sekiranya perceraian itu berlaku dengan kehendak suami,
bukan kemahuan isteri.
Banyaknya pemberian ini adalah berdasarkan kepada persetujuan atau keredhaan kedua-dua belah pihak, di samping mempertimbangkan keadaan kedua-duanya, 
kaya atau miskin dan sebagainya tidak kurang dari separuh mahar. Firman Allah:
"Terangkan olehmu hati mereka dengan pemberian dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik."
(Al-Ahzab : ayat 49)




✿◕ ‿ ◕✿ BERRYlixious ✿◕ ‿ ◕✿

No comments:

Popular Posts

©HAK MILIK TERPELIHARA Berrylixious